SALAM PERKENALAN

Selamat Datang Ke Blog Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 5 MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA.

Kami mengalu-alukan kepada semua penduduk dibawah Pentadbiran JKP Zon 5 MPSJ untuk membuat aduan serta memberi pandangan kepada JKP Zon 5 MPSJ agar segala permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.


Selain itu juga kami sedia menerima apa-apa jua article yang berkaitan dengan PBT untuk disiarkan didalam blog ini.

Tuan/Puan boleh emailkan segala permasalahan tersebut di alamat:
jkpzon5@gmail.com

Monday, November 24, 2008

BERITA SETEMPAT

MPSJ anjur Jom Konvoi motosikal ke Bukit Fraser
Nov 24, 08

USJ - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menganjurkan jelajah motosikal Jom Konvoi MPSJ 2008 yang dijangka bermula di Kompleks Rakan Muda Puchong ke Bukit Fraser.

Program kali kedua ini bagaimanapun terbuka kepada penduduk di bawah pentadbiran MPSJ yang berusia antara 16 hingga 25 tahun dan memiliki motosikal berkuasa 150cc ke bawah.

Yang Dipertua MPSJ, Y.Bhg. Datuk Adnan Md Ikhsan berkata, program berkenaan akan berlangsung selama dua hari bermula 29 November ini dalam usaha memenuhi masa lapang peserta.

Menurutnya, konvoi bermotosikal berkenaan adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran pada tahun lalu dan destinasi yang dipilih pada tahun ini adalah di Bukit Fraser. “MPSJ mengambil inisiatif menganjurkan program ini untuk menyediakan alternatif aktiviti kepada golongan belia di dalam mengisi masa lapang dan musim cuti hujung minggu mereka.

“Beberapa aktiviti juga telah disusun bagi mendedahkan golongan berkenaan terhadap semangat cintakan serta menghargai alam sekitar,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat MPSJ di sini. Adnan berkata, antara program diatur termasuklah program gotong-royong dan ‘enviro hunt’ yang turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti World Wildlife Federation (WWF) Malaysia dan juga Fraser Hill Environment Sustainable Heritage (Fresh).

“Kita juga akan mendedahkan peserta dengan aspek keusahawanan dan jati diri melalui aktiviti yang telah dirancang untuk mereka. “Untuk menjayakan program khusus untuk golongan belia itu, kita juga mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Raub (MDR),” katanya.

Sementara itu katanya, penyertaan hanya terhad kepada 100 peserta dan mereka yang menyertainya hanya perlu membayar yuran sebanyak RM10. Manakala lain-lain keperluan termasuk penginapan akan ditaja oleh penaja yang bermurah hati memberikan sumbangan.

Bagi yang berminat, mereka boleh menghubungi urus setia Program Jom Konvoi ini di talian 03-80264469 atau mendapatkan borang penyertaan di Kompleks Rakan Muda Puchong di sini.

Surat Pembaca

Berikut adalah artikel yang dikirimkan oleh penjenguk Blog ini dan saya paparkan untuk dikongsi dengan pembaca sekalian.
-Webmaster-

Ulasan Isu: Perletakan Jawatan Ahli Majlis MDKS


Pada 22 November 2008 yang lalu terpapar berita perletakan Jawatan oleh Ahli Majlis MDKS.

Beliau menyatakan beberapa sebab perletakan Jawatannya, diantaranya ialah berpunca daripada YDP MDKS yang gagal memberi kerjasama kepada Ahli Majlis yang dilantik oleh Parti Memerintah.


Tugas Ahli Majlis ialah menjalankan dasar-dasar kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca semua. Saya berada di bawah Pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). YDP MPSJ seorang yang kuat bekerja. Beliau peka dengan masalah rakyat.

Masalah yang berlaku di MDKS tidak berlaku pada kami disini. Apa yang saya difahamkan Ahli Majlis bebas memberi pandangan dan membahas apa-apa jua isu didalam mesyuarat. Setiap Ahlli Majlis diberi kemudahan untuk membuka Pusat Khidmat Masyarakat mereka sendiri. Kerjasama yang diberikan oleh Pegawai MPSJ cukup baik.

Saya banyak berurusan dengan PBT tetapi tidak pernah saya dapat kemudahan seperti di MPSJ. Sesetengah Pegawai PBT mesti diberi imbuhan samada belaja minum dan sebagainya sekiranya ingin mendapatkan khidmat mereka. Tetapi di MPSJ cukup-cukup bagus sekali. Kami tidak payah susah-susah untuk mendapatkan khidmat mereka.

Setiap ADUAN yang dibuat samada melalui Phone atau Online semuanya mendapat respon dan tindakan yang pantas daripada Jabatan yang terbabit.

Jadi tidak hairanlah MPSJ mendapat anugerah daripada kerajaan diatas perkhidmatan yang mereka berikan kepada rakyat.

Isu yang ingin saya bawa disini ialah, YDP mesti memainkan peranan yang penting didalam PBT masing-masing tak kira Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran. YDP mesti elak diri dari terlibat dalam Politik kepartian.

Kalau ada yang bertanggapan YDP mesti terlibat dalam politik kepartian baru dapat menjalankan tugas dengan baik, pada saya itu satu tanggapan yang salah.

YDP mesti ikut siapa yang memerintah, apa yang saya lihat di MPSJ kami tidak mengalami apa-apa masalah. Layanan yang kami dapat sama sahaja samada semasa BN memerintah atau PR (Pakatan Rakyat) yang memerintah. Jadi semua ini terletak kepada kebijaksanaan YDP masing-masing.

Justeru bagi YDP yang bermasalah seperti di MDKS, seharusnya kerajaan PR dibawah Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Seri Khalid Ibrahim mesti mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah seumpama ini sebelum ianya merebak dan parah.

Kerjasama yang erat diantara PBT dan Masyarakat adalah penting bagi merialisasikan apa jua agenda Kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara Demokratik dan mengikut lunas-lunas undang yang termaktub didalam Perlembagaan Negara.

-NH Shah Alam-

Wednesday, November 19, 2008

BERITA SETEMPAT

Kerja-Kerja Pembaikan Balai Masyarakat Taman Batu Tiga
Nov 19, 08 08:50am

Bagi memberi kemudahan kepada rakyat, Ahli Majlis MPSJ En. Keshminder Singh telah berusaha memohon peruntukan daripada MPSJ melalui Jabatan Infra MPSJ untuk membaiki beberapa kerosakan pada bangunan Balai Masyarakat Taman Batu Tiga.

Hasrat itu telah tercapai dan pihak Kontraktor telah memulakan kerja-kerja pembaikan pada 8/11/2008 yang lalu.

Sekarang ini dalam proses akhir untuk membersih sisa-sisa batu bata dan sampah sarap yang berada disekitar Balai Masyarakat tersebut.





Sebagai makluman, hampir 6 bulan Balai Masyarakat ini terbengkalai tanpa ada-ada apa aktiviti. (mungkin kejutan tsunami Politik yang melanda negara baru-baru ini). Akibat daripada itu kawasan sekelilingnya dipenuhi dengan lalang dan rumput rampai. Terdapat siling yang pecah, bilik air tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Kepala paip hilang dan sebagainya.


Selain itu juga terdapat beberapa kebocoran pada bumbung Balai Masyarakat tersebut dan termasuk saluran paip air hujan yang tersumbat.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kerja pembaikan Balai Masyarakat ini.

Note: Gambar – gambar kerja pembaikan akan menyusul nanti.

Friday, November 14, 2008

BERITA

S'gor Bantu Penghuni PPR Bayar Sewa
Nov 13, 08 5:52pm

Kerajaan Negeri Selangor akan membantu golongan yang tidak berkemampuan yang tinggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menyelesaikan masalah sewa mereka.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor, kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan dan keselesaan rakyat, begitu komited untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul ekoran daripada kenaikan kadar sewaan bagi PPR.

"Golongan yang benar-benar tidak berkemampuan, iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1500 sebulan dan golongan kurang upaya (OKU) akan diberi bantuan untuk menyelesaikan masalah bayaran sewa mereka," kata kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

Menurutnya, permohonan bantuan boleh dibuat melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang terletak di Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan pengurusan dan penyelenggaraan di sesetengah PPR yang dirasakan kurang sistematik.

Langkah itu, tambahnya, bagi memastikan kediaman yang disediakan adalah selesa serta setimpal dengan nilai sewaan yang dibayar oleh penghuninya.

Sejajar dengan matlamat tersebut, katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan satu perbadanan pergurusan bagi mengawal selia dan mengurus semua PPR di Selangor.

Ia bertujuan untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan perumahan terlibat dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu agi, kerajaan negeri akan sentiasa memantau bagi mengelakkan dari adanya pihak yang tidak layak, cuba mengambil kesempatan untuk bantuan yang diberikan.

"Kerajaan negeri akan senantiasa memantau dan seterusnya mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang sengaja membuat bayaran lewat atas alasan tidak berkemampuan sedangkan sebenarnya berkemampuan," katanya.